Rabu, 2 September 2009

PULAU PINANG

Mutiara Timur

Pulau Pinang juga dikenali sebagai Mutiara Timur merupakan salah sebuah pulau yang terindah dan paling romantis di Asia. Pulau tropika ini terletak di Lautan Hindi di bahagian barat laut Semenanjung Malaysia.Pulau Pinang mendapat namanya dari pokok pinang yang tumbuh melata di pulau tersebut pada suatu masa dahulu. Pulau ini diasaskan sebagai pusat dagang British yang pertama di Timur pada tahun 1776 dan kini merupakan kotaraya yang mencerminkan gabungan unik timur dan barat.
Pulau Pinang terdiri dari dua kawasan utama iaitu pulau dan sebidang tanah di tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Prai.


Jambatan Pulau Pinang merupakan sebuah jambatan terpanjang di Asia yang berukuran 13.5 km menyambungkan Pulau Pinang dengan tanah besar Semenanjung. Pulau Pinang juga boleh dihubungi dengan perkhidmatan feri terus ke tanah besar.
Bandar Georgetown merupakan ibunegeri Pulau Pinang yang dipenuhi dengan sejarah dan warisan tetap menyerlahkan kemajuan dan pembangunan. Terdapat beberapa tempat yang menggambarkan suasana zaman silam di bandar ini seperti jalan yang sempit, beca, kuil-kuil Hindu serta para penjaja yang menjual barangan mereka - pemandangan yang seolah-olah tidak pernah berubah sejak dahulu lagi.

Pulau Pinang merupakan destinasi sesuai bagi mereka yang gemar membeli-belah mencari barangan lama mahupun yang baru, kesemuanya pada harga yang amat murah. Di sini juga para pelancong berkesempatan mencuba sajian-sajian makanan yang paling lazat di rantau ini yang merangkumi masakan Cina, Melayu, Nyonya dan pelbagai makanan gerai seperti nasi kandar, char kway teow dan laksa Penang yang kesemuanya dimasak dengan gaya yang unik.

PERLIS INDRA KAYANGAN

Permata Kecil di Utara

Bersempadan dengan wilayah Thai di Satun di utara, Kedah di tenggara dan Selat Melaka di pesisiran pantai barat, Perlis masih mengekalkan ciri-ciri kebudayaan yang masih kekal hingga ke hari ini.Pemandangan indah sawah padi yang terhampar luas serta tompokan bukit-bukit batu kapur dan suasana kampung yang menarik menjadikan sepanjang perjalanan anda ke negeri ini suatu pengalaman yang menawan hati.

Ibu negeri Perlis ialah Kangar, sementara Arau, yang terletak cuma 10km dari Kangar, merupakan bandar Di Raja negeri Perlis.Perlis terletak di pertengahan laluan lebuhraya serta jalan keretapi yang menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur dengan bandar Bangkok di utara.

Dari bulan Januari hingga April, cuaca di sini lazimnya panas dan kering, sementara bulan September hingga Disember cuacanya agak lembap dan berhujan. Purata suhu tahunan di sini terletak di antara 21 hingga 32 darjah Celcius.

SELANGOR DARUL EHSAN

Penjelajahan Tanpa Akhir

Negeri Selangor terkenal dengan gelaran 'pintu masuk' ke Malaysia, kerana kedudukannya yang strategik di antara jalan-jalan masuk utama. Di selatan Selangor terletaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang merupakan lapangan terbang utama di Malaysia serta Pelabuhan Klang, pelabuhan yang terkenal di tanah air.

Gerbang Kota Darul Ehsan yang tersergam di laluan Lebuhraya Persekutuan menjadi lambang yang menandakan sempadan negeri ini. Struktur yang bercirikan gaya seni Islam Mughal ini, merupakan mercu tanda yang terulung di Selangor, didirikan untuk memperingati penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1974.

Shah Alam, ibu negeri Selangor terserlah sebagai bandar terancang yang menggabungkan keharmonian alam semula jadi dan kemodenan. Kawasan perumhan serta pusat perdagangan di bandar ini pula di kelilingi pohon-pohon yang menghijau serta sebuah tasik yang indah.Batu Caves menjadi tumpuan utama rakyat Hindu, terutamanya sewaktu sambutan perayaan keagamaan. Batu Caves terletak 15 kilometer ke utara KL, dan setiap Januari atau Februari, beribu-ribu penganut Hindu datang ke kuil ini untuk menyambut perayaan penuh meriah, Thaipusam.

Pecinta sejarah pasti terpesona dengan pelbagai kisah silam di Selangor. Hayati perkembangan negeri Selangor dari zaman perlombongan bijih timah hinggalah kegemilangan Kesultanan Melayu di negeri ini.Selangor menampilkan pelbagai tarikan yang pasti menawan hati seperti keunikan budaya, tempat-tempat menarik dan bersejarah serta masakan yang enak dan lazat. Sesungguhnya, Selangor menawarkan penjelajahan tanpa akhir.

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

Khazanah Warisan Silam

Negeri Sembilan bermula kira-kira 50 km ke selatan Kuala Lumpur. Negeri Sembilan, yang bermaksud sembilan negeri, mempunyai banyak perkampungan yang melalui pembangunan perbandaran. Kini semuanya berubah secara perlahan.Negeri Sembilan turut dikenali kerana mempunyai pengaruh Minangkabau yang kuat, yang masih dapat dilihat dalam senibina dan struktur keluarga di sini.

Orang-orang Minangkabau telah berhijrah merentasi Selat Melaka dari Sumatra berkurun lamanya, dan rumah tradisi mereka masih dapat dilihat mempunyai ciri bucu tajam seakan-akan tanduk tajam kerbau.Beberapa contoh pengaruh senibina ini masih dapat dilihat pada Masjid Negeri dan Bangunan Setiausaha Negeri.Orang-orang Minangkabau Negeri Sembilan juga masih mengamalkan sistem adat perpatih, di mana wanita menjadi ketua rumah, dan ini adalah satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem ini.

Orang-orang Minangkabau Negeri Sembilan juga masih mengamalkan sistem adat perpatih, di mana wanita menjadi ketua rumah, dan ini adalah satu-satunya negeri yang mengamalkan sistem ini.Selain kawasan pantai, terdapat juga banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah untuk dikunjungi di negeri ini.

KUALA LUMPUR

Ibukota Malaysia Yang Mengagumkan

Kuala Lumpur (KL) mempunyai pelbagai kebudayaan serta tradisi yang pasti akan menarik minat anda untuk menetap di sini. Keramahan bandaraya ini akan menawan anda untuk menjejaki keunikan tempat ini, yang mendapat pengaruh pelbagai budaya.Terdapat orang Cina, Melayu, India Selatan, Malaysia Timur, kumpulan etnik, Thai, Indonesia, Sikh, dan juga warga professional.Setiap masyarakat menawarkan festival, makanan, muzik, seni, dan fesyen tersendiri yang turut mempengaruhi budaya lain.


Kehidupan malam di KL juga sangat menarik, selain terdapat budaya seni dan persembahan yang menggabungkan gaya kontemporari dan tradisional. Terdapat juga aktiviti sukan dengan infrastruktur terkini.KL sendiri sebuah bandaraya dengan senibina yang terdiri dari rumah agam berusia beratus tahun ke bangunan pencakar langit yang moden. Cubalah juga, makanan yang pelbagai di Kuala Lumpur selain membeli-belah di sini.


KL adalah syurga membeli-belah dan menawarkan pelbagai pilihan untuk semua orang. Di sini, anda berpeluang melihat gabungan budaya, pakaian, dan makanan serta suatu yang unik yang sukar didapati di bahagian lain negara ini.
Pelancong ke Kuala Lumpur juga boleh melihat sendiri keunikan dan keajaiban bandaraya metropolitan KL melalui bas pelancongan dua tingkat.

PAHANG DARUL MAKMUR

Kaya Dengan Anugerah Alam

Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia, mempunyai pelbagai tarikan pelancongan. Malah, hampir 2/3 negeri ini diliputi hutan hujan tebal sekaligus menjadikan ia kawasan hijau dengan hidupan liar dan khazanah alam semula jadi.
Pesisiran pantai Pahang juga adalah kawasan yang menarik berhadapan dengan Laut China Selatan. Pantai Cherating serta Pulau Tioman adalah antara pusat peranginan popular di negeri ini. Terdapat juga aktiviti pantai menarik, aktiviti menyelam serta dapat bersantai di pantai.


Banjaran gunung utama turut memisahkan gunung tersebut di timur dan barat. Gunung Tahan, gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia, turut memberikan cabaran lasak kepada para pendaki. Kawasan pergunungan ini turut menjadi salah satu tarikan pelancongan yang sesuai untuk seisi keluarga.Genting Highlands, yang terkenal sebagai Bandar Hiburan, serta Bukit Tinggi pusat peranginan ala Perancis, juga adalah tempat percutian yang sangat menarik dan terletak hanya sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.
Bukit Fraser dan Tanah Tinggi Cameron adalah tempat peranginan yang seronok, anda juga berpeluang mengikuti denai-denai khas untuk melihat burung-burung dan alam semulajadi. Kuantan, ibu negeri Pahang, turut mempunyai gabungan bangunan moden dan industri kotej.Bukit Fraser dan Tanah Tinggi Cameron adalah tempat peranginan yang seronok, anda juga berpeluang mengikuti denai-denai khas untuk melihat burung-burung dan alam semulajadi. Kuantan, ibu negeri Pahang, turut mempunyai gabungan bangunan moden dan industri kotej.

JOHOR DARUL TAKZIM

Gerbang Selatan

Johor adalah negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia, dengan kawasan pesisiran pantai tepi Selat Melaka di bahagian barat dan Laut China Selatan di timur. Ibu negerinya, Johor Bharu terletak di bahagian paling selatan.Turut kelihatan dalam landskapnya yang luas ialah kawasan ladang nanas, getah, kelapa, kelapa sawit selain taman negara, perkampungan nelayan serta pusat peranginan tepian laut lima bintang.



Negeri ini berjaya mengekalkan sebahagian khazanah alam semulajadinya, dengan pantai bersih berbatu-batu, selain pulau yang memilik air jernih.Tempat ini sesuai untuk menyelam dan juga perikanan laut dalam. Malah, negeri ini turut mempunyai beberapa hutan simpan yang diiktiraf antarabangsa. Pencinta alam semula jadi akan teruja dengan pengalaman yang diperolehi di Taman Negara Endau-Rompin yang terletak di sempadan Johor-Pahang.


Kawasan hutan hujan jenis dipterocarp yang belum diterokai ini turut dihuni oleh pelbagai haiwan yang dilindungi, termasuk badak sumbu Sumatra bertanduk dua.
Johor turut mempunyai padang golf dan pusat peranginan mewah terbaik di Malaysia.

Jumaat, 28 Ogos 2009

PERAK DARUL RIDZUAN



Perak Darul Ridzuan menjanjikan pelbagai pengalaman indah seperti bersantai di pulau dan pantainya yang indah, berkunjung ke tokong dalam gua, meneroka khazanah alam dan menghayati kepelbagaian warisan budaya penduduknya yang berbilang kaum.

Meliputi kawasan seluas 21,000 km. persegi, Perak terletak di antara negeri Kedah di utara dan negeri Selangor di selatan. Banjaran gunung utama di sini mengunjur di sepanjang negeri Perak dan tersergam megah berbanding tanah rata yang terhampar sehingga ke persisiran pantai barat negeri ini.
Negeri Perak juga dikenali sebagai 'Negeri Anggun', oleh sebab suasana serta keindahannya yang bersahaja. Negeri Perak terbahagi kepada sembilan buah daerah.
Setiap daerah mempunyai ciri-ciri keindahan dan sejarah yang tersendiri serta tarikan pelancongan termasuk bangunan bersenibina Anglo-Melayu dan Cina, bangunan kolonial, gua batu kapur, kuil dan tokong, serta pusat peranginan di tanah tinggi seperti yang terdapat di Bukit Larut (Maxwell Hill).


Ibu negeri Perak, bandar Ipoh di penuhi bangunan-bangunan lama peninggalan Inggeris dan terkenal dengan sajian makanan yang sederhana tetapi lazat di gerai-gerai tepi jalan. Malahan, sajian makanan enak di Ipoh menarik ramai pelawat harian dari seluruh Malaysia hingga ada yang sanggup memandu selama tiga jam semata-mata untuk menikmati semangkuk mee lazat yang hanya boleh didapati di sini!

Bahagian pantai barat negeri Perak yang menghadap Selat Melaka mempunyai beberapa buah pulau yang terletak tidak jauh dari tanah besar. Pulau yang terdekat jaraknya dengan tanah besar ialah Pulau Pangkor yang terletak bertentangan dengan pekan Lumut di tanah besar. Gaya kehidupan di Pulau Pangkor yang unik menawarkan pelbagai pengalaman percutian yang indah dan beberapa buah pantai yang menawan untuk para pelawat. Cuba sajian makanan laut di sini, anda pasti tertawan!

Khamis, 27 Ogos 2009

TOKONG SAM POH TONG

Sam Poh Tong ialah sebuah gua terkenal yang terletak di Gunung Rapat, kira-kira 5km ke selatan bandar raya Ipoh. Ada yang mengatakan ianya adalah tokong yang terbesar di Malaysia yang mempamerkan hasil seni yang mengagumkan dari arca-arca Buddha yang terletak di antara bongkah-bongkah stalaktit dan stalagmit di dalam gua ini.

Menurut legendanya, gua ini ditemui pada tahun 1890 oleh seorang sami Buddha dari negeri China yang lalu di kawasan itu di dalam perjalannya menuju ke Ipoh; dia membuat keputusan untuk menjadikan gua itu sebagai tempat tinggalnya dan tempat untuk bertapa. Dia dikatakan telah tinggal di sini selama 20 tahun sehingga hari kematiannya. Hari ini, sami-sami Buddha lelaki mahu pun perempuan yang menumpukan hidup mereka kepada agama Buddha masih lagi menduduki tokong Sam Poh Tong.

Bahagian hadapan tokong yang ada sekarang telah wujud sejak tahun 1950an dan tangga yang mempunyai 246 anak tangga ini akan membawa anda ke sebuah gua terbuka yang mempunyai pemandangan bandar raya Ipoh dan persekitarannya yang amat menarik. Tarikan lain di tokong ini termasuk kolam gaya Jepun yang penuh dengan ikan kap Jepun dan kura-kura yang merupakan lambang usia yang panjang.
Pelawat boleh melihat hasil kerja seni manusia dan juga alam semulajadi di dalam tokong ini - arca Buddha yang diukir indah dalam pelbagai aksi terletak di antara bongkahan stalaktit dan stalagmit yang menawan.



  • Tips
    Tokong ini lazimnya lebih meriah sewaktu pesta keagamaan Buddha seperti Hari Wesak.

  • Pengangkutan

Jalan Darat

Tokong ini terletak di Gunung Rapat iaitu hanya 5km di selatan bandar raya Ipoh.

TAMAN PERLINDUNGAN BURUNG KUALA GULA


Hutan Paya Bakau Matang merupakan eko-sistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia. Hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 km bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 km lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai-sungai di dalam lima kawasan muara yang terlindung.



Sewaktu musim penghijrahan burung antara bulan Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 ekor burung dari kira-kira 50 spesis dijangka singgah di sini.Pusat maklumat pelawat yang lengkap disediakan di sini bagi membolehkan pelawat memahami kepentingan memelihara dan menjaga ekosistem hutan paya bakau dan burung-burung yang tinggal atau pun yang singgah di sini menerusi program pembelajaran dan bahan pameran yang disediakan.

Taman Perlindungan Burung Kuala Gula pernah memenangi anugerah 'Tarikan Pelancong Terbaik (Tarikan Semulajadi) sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Malaysia - sebuah majlis gemilang yang menyampaikan anugerah-anugerah kepada agensi dan pertubuhan yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Malaysia.


  • Tips
    Masa terbaik untuk memerhati burung di sini ialah dari bulan September hingga Mac.

  • Pengangkutan

Kereta

Walaupun kawasan perlindungan burung in terletak di Negeri Perak, sebenarnya ia lebih mudah dikunjungi dari Butterworth (di Pulau Pinang). Pandu di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan menuju selatan dari Butterworth (di Pulau Pinang) selama kira-kira 30 minit, kemudian susur keluar di Jawi menghala ke pekan Kuala Kurau. Pandu terus selama 30 minit lagi dan anda akan jumpa papan-papan tanda yang menunjukkan arah ke Kuala Gula.

HUTAN SIMPAN BELUM


Hutan Simpan Belum yang merupakan sebuah hutan dara yang luas terletak di utara Tasik Temenggor, di bahagian utara Negeri Perak. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung yang tidak pernah diterokai oleh manusia.


Kehadiran spesis haiwan mamalia yang besar di sini seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Hutan Belum sebuah hutan simpan yang amat istimewa.
Hutan ini kaya dengan haiwan dan tumbuhan yang mengagumkan yang mana banyak kawasan di sini belum pernah di teroka atau diganggu oleh kehadiran manusia.
Beberapa syarikat pengendali pelancong kini menawarkan lawatan berpandu ke tempat-tempat tertentu di hutan simpan ini dan boleh mengaturkan permit-permit kebenaran yang diperlukan untuk melawat ke sini dan juga pengangkutan darat dan sungai malah mungkin merangkumi aktiviti perkhemahan.




  • Tips
    Gunakan pakaian yang nipis dan longgar; kemeja-t lengan panjang yang selesa dan seluar panjang untuk perlindungan dari serangga dan luka cakaran. pada masa-masa tertentu, keadaan di dalam hutan ini boleh menjadi sejuk. Bawa bersama jaket kalis air untuk keselesaan anda. Ketika meneroka hutan, pilih laluan trek yang boleh anda sempurnakan sebelum matahari terbenam dan pastikan anda memberitahu rancangan anda untuk meneroka kepada orang lain agar mereka boleh menjangka bila anda akan pulang dari penerokaan anda. Anda disarankan supaya tidak melencong dari laluan yang telah ditandakan di dalam hutan ini.

  • Pengangkutan

Kereta

Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Ipoh. Selepas Ipoh, ambil susur keluar ke Kuala Kangsar dan pandu ke arah pekan Gerik. Gunakan Laluan 4 iaitu Lebuhraya Timur-Barat. Lebuhraya ini akan membawa anda ke Pulau Banding iaitu gerbang masuk ke Hutan Belum. Perjalanan dari KL memakan masa kira-kira 5 1/2 jam. Kebenaran masuk ke Hutan Simpan Belum lebih mudah didapati sekiranya anda berurusan dengan pemilik resort yang terdapat di sini.

KELLIE'S CASTLE

Pada asalnya mahligai ini dibina sebagai rumah kediaman untuk William Kellie Smith seorang peladang dari Scotland pada kurun ke-20.Memandangkan beliau berada jauh dari tanah airnya, beliau menginginkan sebuah rumah yang boleh mengingatkannya kepada tanah airnya. Mahligai ini terletak di atas sebuah bukit yang dahulunya merupakan kawasan ladang getah.


William Kellie Smith adalah seorang lelaki yang menarik dan sangat popular di kalangan pekerjanya dari India Selatan. Beliau seorang yang baik hati kerana mendirikan sebuah kuil Hindu untuk pekerjanya di perkarangan kawasan mahligai tersebut.Para pekerjanya telah mendirikan sebuah arca yang menyerupai Kellie yang lengkap berbaju sut dan topi sebagai tanda terima kasih mereka.

Pembinaan mahligai yang unik ini bermula pada tahun 1915. Walau bagaimana pun, kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan apabila Kellie mati secara tiba-tiba pada tahun 1926. Kini, mahligai yang tidak siap ini kelihatan aneh dikelilingi ladang yang sunyi dan mempunyai aura misteri.Baru-baru ini beberapa usaha telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menyelamatkan mahligai yang indah ini dari tumbuhan liar yang semakin banyak menyelubunginya. Mahligai ini dipercayai berhantu dan mempunyai bilik rahsia serta terowong bawah tanah yang tersembunyi.
Jalan menuju ke mahligai berbelok-belok dan agak membingungkan lantas meningkatkan lagi suasana misteri tempat ini.

  • Tips
    Oleh kerana mahligai ini terletak di sebuah kawasan yang sunyi, rancang lawatan supaya anda dapat kembali sebelum matahari terbenam.

  • Pengangkutan

Kereta

Mahligai ini terletak berhampiran Ladang Getah Kintas Kellas di dalam perjalanan ke pekan Batu Gajah iaitu kira-kira 14 km dari bandar raya Ipoh atau 30 minit perjalanan dengan kereta.

KOMPLEKS SEJARAH PASIR SALAK

Kompleks Sejarah Pasir Salak terletak di kawasan seluas 17 hektar dan terbahagi kepada dua kawasan, iaitu bahagian perdagangan dan pendidikan/ sejarah.Terletak 70 km dari bandaraya Ipoh, kompleks ini dibina sebagai menghormati pejuang Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela.Tugu turut dibina dalam bentuk sundang, iaitu replika pisau yang digunakan untuk membunuh J.W.W. Birch.Kedua tokoh inilah yang bertanggungjawab menaikkan semangat rakyat setempat menentang penjajah British ketika itu yang dikatakan tidak menghormati adat setempat.



Sewaktu residen British di Perak ketika itu, J.W.W. Birch, dibunuh di tebing Sungai Perak, situasi tegang antara pihak British dan penduduk Melayu tercetus. Sejarah lanjut hal ini dapat dilihat di kompleks sejarah ini.


Tarikan lain di kompleks termasuk monumen J.W.W. Birch, kubur Sipuntum (dikatakan pembunuh upahan), kubu Datuk Maharajalela, serta meriam Lela Rentaka yang digunakan untuk menentang pihak British.Terdapat juga dua buah rumah Kutai (rumah tradisional Perak) yang dilengkapi dengan bahan bersejarah dan artifak kebudayaan berharga.



  • Tips
    Waktu melawat di kompleks tersebut: Isnin - Khamis (10 pagi - 5 petang); Jumaat (10 pagi - 12 tengahari, 2.45 petang - 5.00 petang); Sabtu, Ahad dan Cuti Umum (10 pagi - 6 petang).

  • Pengangkutan

Kereta

Ambil lebuh raya Utara Selatan (PLUS), dan ambil susur keluar di pertukaran Simpang Pulai. Dari sini, ambil laluan Batu Gajah, dan pandu ke arah Kampung Gajah. Ikut papan tanda ke arah Kompleks Sejarah Pasir Salak.

GUA TEMPURUNG

Gua Tempurung, yang merentasi 1.3 km dipercayai telah dihuni oleh manusia seawal 8000BC.Gua ini dikatakan mempunyai gua batu kapur semulajadi terbesar di Semenanjung Malaysia. Ia terletak di kawasan Gopeng, 24 km ke selatan Ipoh.


Gua ini membentuk lima bucu (dome) yang siling atasnya berbentuk tempurung kelapa, dengan setiap bucu mempunyai pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit.
Bucu ini juga berbeza antara satu yang lain tergantung kepada suhu, paras air dan kandungan batu kapur dan marmar.


  • Tips
    Pintu masuk ke gua ini menempatkan pusat pelawat untuk pendaftaran bagi mendapatkan permit yang diperlukan untuk melawat gua.

  • Pengangkutan

Kereta

Gua ini terletak di kawasan Gopeng, 24 km ke selatan Ipoh.

PULAU PANGKOR

Pulau Pangkor dengan kombinasi perkampungan nelayan yang mempesona serta resort yang mewah merupakan destinasi percutian yang mengagumkan dan mudah dikunjungi. Pulau Pangkor memberi pelawat peluang untuk menginap di tempat penginapan berhampiran dengan perkampungan nelayan bagi membolehkan mereka memerhatikan cara hidup para nelayan sambil menikmati keindahan pantai atau memilih kemudahan resort yang tersedia di situ.

Penduduk di sini tinggal di beberapa perkampungan nelayan yang bertaburan di sebelah Timur pulau ini yang bertentangan dengan pekan Lumut dan Teluk Batik. Pelawat juga berpeluang melihat perkampungan ini sewaktu perjalanan feri dari Lumut yang mengambil masa selama 40 minit kerana feri ini singgah di kawasan penempatan utama iaitu Sungai Pinang Kecil dan Sungai Pinang Besar sebelum berhenti di pekan Pulau Pangkor.

Dua pantai yang popular di Pulau Pangkor iaitu pantai Pasir Bogak dan pantai Teluk Nipah menawarkan aktiviti-aktiviti seperti menyelam skuba, berenang snokel, bermain papan luncur air dan memancing kepada mereka yang gemarkan sinaran matahari dan lautan biru. walaupun Pantai Pasir Bogak telah banyak membangun namun Teluk Nipah masih lagi mengekalkan suasana perkampungannya.Teluk Ketapang atau Turtle Bay masih lagi menerima kedatangan penyu laut yang tiba di sini untuk bertelur. Ada juga antara resort di pulau ini yang menawarkan kemudahan padang golf yang hebat.

  • Tips
    Bertolak dari resort anda di sebelah petang dan tuju ke perkampungan nelayan yang utama di Pulau Pangkor untuk menikmati makanan laut yang paling lazat.


  • Pengangkutan

Jalan Laut

Pulau Pangkor boleh dikunjungi dengan feri yang mengambil masa 40-minit dari Lumut. Feri ini bertolak setiap setengah jam sekali.

Jalan Udara

Syarikat penerbangan swasta seperti Berjaya Air mengendalikan penerbangan 5 kali seminggu ke Pulau Pangkor dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah berhampiran Kuala Lumpur.

Jalan Darat

Gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Perak. Ambil susur keluar ke plaza tol Bidor. Perjalanan seterusnya akan melalui jalanraya negeri. Ikut papan tanda ke '“Pelabuhan Lumut”. Kemudian, ikut papan tanda yang menghala ke “Teluk Intan”, “Sitiawan” dan “Pulau Pangkor”.

KELANTAN DARUL NAIM

Tempat Bermula Budaya Melayu

Salah sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia, Kelantan Darul Naim bersempadan dengan Thailand di utara, Perak di barat, Terengganu di Tenggara dan Laut China Selatan di timur serta Pahang di selatan.

Oleh kerana negeri ini berkongsi sempadan dengan Thailand, dan pernah satu ketika dulu dijajah negara itu, maka tidak hairanlah pengaruh Thai dilihat dalam makanan setempat, senibina, dan juga komposisi penduduk tempatan.


Ibu negerinya, Kota Bharu adalah tempat terbaik untuk menikmati budaya dan makanan tempatan.Malah, Kelantan adalah sebuah destinasi pelancongan yang menarik kerana mempunyai pantai cantik, budaya yang kaya, kraf tangan yang unik serta ukiran kayu yang terkenal. Wanita sering memainkan peranan besar dalam ekonomi negeri ini.

Kraf tangan yang mereka hasilkan, seperti perak Kelantan, bakul, kain adalah antara hasil seni yang terbaik di Semenanjung Malaysia dan sering dibeli bukan saja oleh rakyat Malaysia, tetapi juga pelancong asing.

Warga Kelantan sendiri gemarkan rekaan yang besar, seperti layang-layang, gasing dan juga peralatan muzik, Rebana Ubi.

Rabu, 19 Ogos 2009

SABAH


Negeri di Bawah Bayu ini terletak di bawah lingkaran laluan taufan dan Sabah yang terletak di bahagian utara Borneo adalah negeri kedua terbesar di sebelah timur Malaysia dengan keluasan 74,500 km persegi.Laut China Selatan terletak di barat Sabah manakala Lautan Sulu dan Celebes (Sulawesi) di timur. Negeri yang kaya dengan hutan hujan tropika dan kawasan pergunungan yang terkenal mempunyai hampir dua juta penduduk terdiri dari 32 kaum pelbagai etnik.


Ibu negerinya, Kota Kinabalu terletak di kawasan rendah di mana kawasan perdagangan dan aktiviti pentadbiran berpusat. Bagaimanapun, untuk merasai keunikan Sabah yang ‘sebenar’ anda perlu menuju ke kawasan luar bandar.
Taman Kinabalu turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kerana kepelbagaian tumbuhan dan hidupan liar di situ.

Ia juga memberikan cabaran kepada pendaki di sini, yang melalui kawasan hutan yang luas malah, menemui kawasan air panas di kawasan tinggi. Pulau Sipadan di luar pesisiran pantai tenggara Sabah juga salah sebuah daripada lima tempat menyelam teratas dunia.

Ini kerana kawasan perairan di sini kaya dengan hidupan laut yang pelbagai. Malah, saat menyelam anda berpeluang melihat penyu, ikan alu-alu dan jerung putih di Sipadan.


GUA MANDAI


Gua Madai ialah tempat yang utama bagi aktiviti mengutip sarang burung. Sarang burung ini dianggap sebagai makanan istimewa dan dipercayai baik untuk kesihatan di kalangan masyarakat Cina dan pasaran eksportnya sangat meluas. Perkampungan di pintu gua ini berubah menjadi meriah setiap dua kali setahun apabila suku kaum Idahan datang ke sini untuk mengutip sarang burung dari bahagian-bahagian gua yang berbeza-beza ini.

Aktiviti mengutip sarang burung ini secara beramai-ramai menjadikan ianya seakan-akan sebuah pesta. Proses mengutip sarang burung ini agak dramatik di mana kaum lelaki menyabung nyawa dengan memanjat hingga ke siling gua untuk mengutip sarang burung. Kini mereka mengupah pengutip sarang burung. Puak Idahan mempunyai hak ke atas Gua Madai ini sejak 20 generasi yang lalu.

Pelawat perlu mendapatkan kebenaran dari warga tua puak Idahan. Sebelum itu, pelawat juga perlu berurusan dengan Pejabat Daerah di pekan Lahad Datu bagi mendapatkan kebenaran awal untuk memasuki gua.

  • Tips
    Sarang burung yang paling berharga - jarang ditemui - sarang yang berwarna putih yang boleh mencapai harga lebih dari RM2,000 sekilo.

  • Pengangkutan

Jalan Darat (Bas)

Semua bas antara Lahad Datu dan Semporna atau Tawau akan melewati persimpangan ke Gua Madai. Dari persimpangan ini, anda boleh mendapatkan van kecil untuk membawa anda ke gua tersebut. Tetapi anda mungkin terpaksa berjalan kaki keluar dari Gua Madai untuk kembali ke persimpangan di jalan utama tersebut.

Jalan Darat

Gua Madai terletak berhampiran Lebuhraya Lahad Datu-Tawau. Persimpangan keluar untuk ke gua ini terletak 69 km dari Lahad Datu. Jangan terlepas papan tanda yang menyatakan 'Gua Madai'. Gua ini terletak 3km dari persimpangan tersebut.

PULAU LAYANG-LAYANG


Pulau Layang Layang menjadi destinasi selaman skuba yang terkemuka di Malaysia selain Pulau Sipadan. Pulau karang ini terletak di lautan terbuka Laut China Selatan kira-kira 300 km ke barat-laut Kota Kinabalu iaitu ibu negeri Sabah.

Kawasan kecil ini menampung resort yang mempunyai 90 buah bilik mewah, sebuah pengkalan tentera laut Malaysia dan menjadi tempat koloni burung laut yang berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut musim untuk bersarang.

Topografi terumbu karang di sini terbentuk dari batu karang keras yang subur dan ada di antaranya yang terletak di kawasan sangat cetek sehingga terdedah kepada udara sewaktu air surut, tetapi kebanyakannya bermula pada kedalaman kira-kira 5 meter hinggalah di dasar laut.

Antara hidupan laut yang sering kelihatan di 14 tapak selaman skuba di sini termasuk ikan yu sirip hitam, jerung hammerhead, ikan alu-alu, ikan cermin, 'bump-head parrotfish', 'lionfish', belut moray, penyu, 'nudibranch', ikan goby dan 'ghost pipefish'.

  • Tips
    Jika anda ingin melihat sekawan ikan jerung hammerhead, datanglah ke sini pada bulan April hingga Jun. Anda berkemungkinan dapat melihat kumpulan jerung ini kerana kehadiran haiwan ini pada bulan-bulan tersebut adalah tinggi.

  • Pengangkutan

Jalan Laut

Tempat terdekat untuk ke Pulau Layang-Layang ialah dari Kota Kinabalu, Sabah di mana sebuah syarikat penerbangan persendirian boleh menerbangkan penumpang ke Pulau Layang-Layang.

Penerbangan

Penerbangan ini diaturkan oleh Layang Layang Island Resort. Penerbangan terus ke Kota Kinabalu disediakan dari Tokyo, Taipei, Kaohsiung, Seoul, Hong Kong, Manila, Cebu, Singapore dan Kuala Lumpur.

Pusat Rafflesia


Pusat ini merupakan pintu masuk ke hutan simpan dara di sini. Bagi mereka yang tidak mahu pergi berjalan di dalam hutan, pusat ini menawarkan pelbagai maklumat mengenai bunga Rafflesia Precei yang terbesar di dunia ini.

Pengalaman berjalan di dalam hutan dan penemuan bunga Rafflesia yang sedang kembang mekar menjadikan Hutan Simpan Rafflesia ini tempat yang menarik untuk di kunjungi.

Tumbuhan yang lazimnya ditemui di sini terdiri dari pokok jenis oak atau berangan. Pokok yang besar terutamanya Shoreas boleh ditemui di kawasan rabung atau tebing yang landai. Terdapat sebatang pokok jenis Shorea di sini yang terletak pada ketinggian 1,350 m yang mempunyai lilitan sebesar 600 sm.


  • Tips
    Bunga Rafflesia mengambil masa yang lama untuk berkembang dan ianya hanya boleh bertahan selama tujuh hari sebelum ia layu dan menjadi busuk.

  • Pengangkutan

Van Mini



Dari Kota Kinabalu, naiki sebuah van mini ke Tambunan atau Keningau untuk pergi ke pusat Rafflesia ini. Perjalanan ini memakan masa kira-kira 30 minit dan perkhidmatan van mini ini boleh diperolehi dengan mudah sehinggalah waktu senja.

Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok


Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok ialah tempat yang mempesona dimana pelawat boleh memerhatikan para pelatih mengajar Orang Utan yang kehilangan ibubapa atau yang telah tersingkir mengenai cara-cara memanjat di persekitaran semulajadi mereka. Di pusat perlindungan ini, haiwan di dalam kurungan dilatih semula untuk menyediakan mereka bagi menghadapi kehidupan di hutan tempat tinggal semulajadi mereka. Pusat ini membolehkan pelawat melihat haiwan purba ini dengan lebih dekat .

Waktu terbaik untuk berkunjung ke sini ialah pada pukul 10.00 pagi dan 2.30 petang apabila Orang Utan di sini keluar untuk mendapatkan makanan iaitu hidangan pisang dan susu. Anda boleh melihat Orang Utan di sini diberi makan dari platform di tengah kawasan ini. Orang Utan yang juga digelar 'Manusia Liar Borneo' (Wild Man of Borneo) akhirnya akan di hantar semula ke dalam hutan apabila mereka sudah berupaya menjaga diri mereka.

Selain dari Orang Utan terdapat juga lebih 200 spesis burung dan pelbagai jenis tumbuhan liar yang boleh dijumpai di dalam kawasan hutan simpan seluas 5.666 hektar ini.



  • Tips
    Memandangkan pelawat tidak dibenarkan menggunakan lampu kamera ketika mengambil gambar, anda disarankan menetapkan kamera anda pada ASA 400 ke atas kerana suasana di dalam hutan ini agak suram.

  • Pengangkutan

Jalan Darat (Bas)

Dari stesen bas tempatan berhampiran pasar Sandakan, naiki bas berwarna biru bertanda 'Sepilok Batu 14'. Perjalanan bas selama 30 minit ini membawa anda terus ke Pusat Perlindungan Orang Utan Sepilok. Bas biasa yang bertanda 'Batu 14' ke atas juga boleh menurunkan anda di persimpangan Jalan Sepilok. Tetapi anda perlu berjalan sejauh 1.5 km untuk sampai ke Pusat Perlindungan Orang Utan ini. Bas terakhir bertolak dari Sepilok menuju ke Sandakan pada pukul 4:30 petang.

TAMAN KINABALU


Taman Kinabalu merangkumi kawasan seluas 754 km persegi dan terdiri daripada Gunung Kinabalu, Gunung Tambayukon dan kawasan kaki bukit.
Taman ini diwartakan bagi memelihara persekitaran semulajadi yang berharga ini. Gunung-gunung di sini mempunyai sejarah geologi yang menarik dan dibentuk dalam masa satu juta tahun 'sahaja'.

Gunung Kinabalu yang kelihatan perkasa ini sebenarnya sebuah bongkahan granit yang besar yang kemudiannya menjulang tinggi di permukaan bumi.
Proses penghakisan yang berlaku bertahun-tahun lamanya telah membuang lapisan pasir dan batu beribu kaki tebalnya dan mendedahkan bentukan granit ini.

Ketika Zaman Ais, glasier-glasier yang mengalir di puncaknya telah melicinkan permukaannya, tetapi bahagian puncak yang lebih tinggi dari aliran glasier tersebut tidak terganggu dan kekal dengan permukaannya yang kasar. Permukaan kasar inilah yang menjadi tarikan utama Taman Negara ini.



  • Tips
    Jika anda bercadang untuk mendaki gunung, pastikan anda membawa topi yang dilengkapi dengan lampu bagi pendakian awal pagi ke puncak kerana pendakian akan dimulakan sewaktu suasana masih gelap serta cuaca persekitaran yang sangat sejuk. Suhu di puncak seringkali mencapai tahap beku!

  • Pengangkutan

Teksi

Anda boleh menyewa kereta dari hotel-hotel utama di Kota Kinabalu. Teksi boleh membawa anda ke Ibupejabat Taman Negara di Ranau dan mengambil jumlah penumpang tidak lebih dari empat orang. Anda boleh berjanji dengan pemandu teksi tersebut supaya menjemput anda dari Ibupejabat Taman Negara sekiranya anda menyewa teksi tersebut.

Bas

Semua bas ekspress dan bas mini antara Kota Kinabalu dan Ranau atau Sandakan akan melalui simpang ke taman negara ini yang terletak hanya 100 meter dari Ibupejabat Taman Negara.

MALIAU BASIN


Kawasan Maliau adalah sebuah kawasan tadahan semulajadi, dan tidak pernah diterokai selama berjuta tahun lamanya.

Baru-baru ini, kawasan Maliau yang teretak di selatan Sabah mulai diterokai. Ia merupakan kawasan cantik yang memiliki kekayaan alam semulajadi yang unik.
Di sini, terdapat lebih 30 spesies mamalia, 270 spesies burung dan lebih 80 spesies bunga orkid, yang berharga dan hampir pupus turut ditemui. Terdapat juga kawasan air terjun ditemui di sepanjang kawasan tadahan ini.

Sungai Maliau mengalir ke arah kawasan curam di bahagian tenggara menuju Sungai Kuamut. Aliran air sungai ini kemudian mengalir ke Sungai Kinabatangan, sungai terpanjang di Sabah.

Terlalu banyak yang belum diterokai di kawasan alam semulajadi yang kaya dengan flora dan fauna ini.Oleh kerana kepentingannya kepada ekosistem, pengunjung ke sini turut dihadkan, terutamanya di kawasan kem-kem yang disediakan.

  • Tips
    Kawasan Maliau ini mulai diperkenalkan kepada dunia luar, dan masih banyak misteri kawasan ini yang belum terungkap.

  • Pengangkutan

Penerbangan

Pelawat boleh menggunakan kapal terbang dari Kota Kinabalu ke Tawau, sebelum mengatur pengangkutan dengan agen pelancongan untuk ke kawasan Maliau.

LEMBAH DANUM


Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum terletak 83 km ke barat-daya Lahad Datu telah diberkati dengan pelbagai spesis tumbuhan dan haiwan yang menakjubkan.
Kawasan tadahan yang luas ini merupakan tempat tinggal bagi badak sumbu Sumatera, orang utan, ungka, kancil, serta harimau bintang. Terdapat sebanyak 270 spesis burung telah direkodkan di kawasan ini. Pusat Kajiselidik Danum terletak di dalam kawasan hutan simpan seluas 440 km persegi ini.

Lembah Danum mempunyai sebuah eko-resort yang pertama di Sabah iaitu Borneo Rainforest Lodge. Resort ini mempunyai sebuah restoran, bar, serta chalet yang selesa dengan pemandangan Sungai Danum.

Antara aktiviti yang ditawarkan disini ialah menjejaki laluan trek dalam hutan, bermandi di sungai, memerhati burung, meninjau hutan pada waktu malam dan lawatan ke tapak pembalakan dan kilang kayu yang berdekatan.

  • Tips
    Pastikan anda membawa pakaian panas bersama anda ke sini. Ya, walaupun anda berada di kawasan beriklim tropika, namun cuaca di dalam hutan kadangkala amat sejuk di sebelah malam kerana cahaya matahari tidak dapat menembusi hutan tebal untuk memanaskan dasar tanah di dalam hutan.

  • Pengangkutan

Kereta

Perjalanan dari Lahad Datu mengambil masa dua jam di mana 15 km pertama merupakan jalan utama Lahad Datu-Tawau dan perjalanan seterusnya menerusi jalan pembalakan persendirian yang tidak berturap tetapi diselenggara rapi.

Pulau Sipadan


Mendiang Jacques Cousteau seorang penyelidik laut yang terkenal di dunia menggambarkan Pulau Sipadan sebagai 'hasil seni agung yang tidak diusik manusia', sementara para penyelam skuba di merata dunia memilih pulau ini sebagai salah satu dari lima destinasi menyelam yang terunggul di dunia.

Pulau Sipadan mempunyai saiz yang agak kecil iaitu seluas 12 hektar dan satu-satunya pulau laut dalam di Malaysia. Pelawat boleh berjalan mengelilingi pulau ini di dalam masa 25 minit sahaja. Ianya terletak kira-kira 700 meter dari aras dasar laut dan menjadi tarikan kepada pelbagai hidupan laut yang datang dari dasar laut. Pulau yang di kelilingi air laut yang bersih dan jernih ini mempunyai kekayaan hidupan laut yang menakjubkan.

Hutan tebal di pulau ini menampung sejumlah besar spesis burung tropika termasuk helang laut, burung rajawali, 'sunbird', 'starling' dan merpati kayu dan telah diisytiharkan sebagai kawasan perlindungan burung pada tahun 1933 oleh Kerajaan kolonial Borneo Utara dan diwartakan semula pada tahun 1963 oleh Kerajaan Malaysia. Hidupan krustasia eksotik termasuk ketam kelapa bertaburan di pantai dan bersembunyi di celah-celah tumbuhan di sini.

Sewaktu menyelam di sini, para penyelam skuba mempunyai peluang yang tinggi untuk menemui penyu, kumpulan ikan aji-aji, 'bumphead parrotfish' dan ikan alu-alu yang banyak terdapat di sekitar perairan pulau terumbu karang ini.



  • Tips
    Cubalah pergi menyelam skuba di awal pagi ke tapak selaman Sipadan yang terkenal - Barracuda Point. Anda berpeluang berenang berhampiran kumpulan ikan alu-alu yang besar jumlahnya pada waktu awal pagi.

  • Pengangkutan

Jalan Laut

Jalan yang terdekat untuk pergi ke Pulau Sipadan ialah melalui Kota Kinabalu atau Tawau.

Jalan Udara

Jalan yang terdekat untuk pergi ke Pulau Sipadan ialah melalui Kota Kinabalu atau Tawau.

Jalan Darat

Teruskan perjalanan anda selama satu jam untuk sampai di pekan Semporna.

Gunung Kinabalu Via Ferrata


Via ferrata (atau laluan besi dalam bahasa Itali), sebenarnya adalah suatu laluan di sisi gunung yang menggunakan talian, kabel dan peralatan lainnya untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Terdapat lebih 300 laluan via ferrata di seluruh dunia, dan via Gunung Kinabalu, Malaysia.

Ini adalah pertama kali sukan mendaki via ferrata diperkenalkan di Asia. Puncak tertinggi via ferrata bermula pada 3,400 meter dan berakhir pada 3, 800 meter. Suatu aktiviti yang boleh dilakukan oleh semua, via ferrata ini turut direka agar mereka yang tiada pengalaman pendakian juga dapat mengikuti laluan permukaan batu yang terdapat di sini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti untuk memastikan anda dapat melakukan aktiviti pendakian via ferrata ini, antaranya mempunyai tahap kesihatan yang baik, dapat mendaki sehingga 3,200 meter dalam tempoh 6 jam, sekurangnya berumur 10 tahun dan ketinggian 1.3 meter, serta tidak gayat (atau ingin mengatasi perasaan gayat!).

Ini adalah suatu aktiviti yang mencabar, dan mereka yang ingin lakukan aktiviti via ferrata di Gunung Kinabalu boleh mengikuti laluan pendaki pemula. Laluan ini akan memberi peluang kepada pendaki baru untuk meniti di laluan dinding granit Gunung Kinabalu (perjalanan ini sekitar 2- 3 jam).

Laluan seterusnya akan memberi peluang kepada pendaki mengikuti laluan selama 4- 5 jam, yang sekaligus menjanjikan pemandangan indah dari ketinggian gunung. Adakah anda bersedia untuk mengikuti cabaran ini?Cubalah aktiviti pendakian via ferrata di Gunung Kinabalu!

  • Tips
    Laluan via ferrata ini boleh dilakukan oleh pendaki amatur dan profesional.

  • Pengangkutan

Penerbangan

Pengunjung boleh menaiki kapal terbang ke Kota Kinabalu.

Taman Laut Pulau Tiga


Pulau Tiga adalah pulau terbesar di antara tiga pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tiga. Pemandangan indah dan persekitaran yang bersih telah menarik minat Rangkaian TV CBS dari Amerika untuk menggunakan pulau ini sebagai lokasi utama bagi penggambaran rancangan 'Survivor' yang popular lantas memberikan gelaran 'Survivor Island' kepada pulau ini.

Pulau ini terbentuk selepas ledakan beberapa buah gunung berapi lumpur. Ledakan terakhir berlaku pada tahun 1941 dan sejak itu, gunung berapi lumpur tersebut telah kekal pasif. Beberapa buah lahang yang mengeluarkan lumpur mengandungi mineral yang tinggi dan masih boleh ditemui berhampiran puncak tertinggi di pulau ini. Kepercayaan yang lumpur ini baik untuk kulit menjadikan aktiviti bermandi lumpur sangat terkenal di pulau ini.

Hutan hijau yang tebal di pulau ini menyediakan perlindungan yang nyaman, sementara pasir pantai yang halus dan putih serta air laut yang jernih menggamit pelawat ke sini. Terumbu karang di sekeliling pulau ini memberi perlindungan kepada pelbagai spesis ikan dan hidupan laut yang lain. Antara aktiviti yang menanti anda di sini termasuk menyelam skuba, sukan air tidak bermotor, meneroka hutan, memerhati burung dan bermandi lumpur.Ibupejabat Taman Laut terletak di bahagian selatan pulau ini tidak jauh dari Pulau Tiga Resort.

  • Tips
    Pulau Tiga dan Pulau Kalampunian menawarkan peluang mandi-manda dan berenang snokel tidak jauh dari pantai.

  • Pengangkutan

Jalan darat dan laut

Perjalanan ke Jeti Kuala Penyu dari Kota Kinabalu mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Bot laju yang disediakan di Jeti Kuala Penyu ke Taman Laut Pulau Tiga pula akan mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Taman Laut Pulau Penyu


Taman Laut Pulau Penyu merangkumi beberapa buah pulau yang tidak didiami yang terletak di Laut Sulu berhampiran pantai timur Negeri Sabah.Pulau Penyu yang juga dipanggil Pulau Selingan merupakan pulau terbesar di sini dan telah dibangunkan bagi menempatkan ibupejabat Taman Laut ini iaitu sebuah pusat pelawat, kemudahan pelancongan yang ringkas dan sebuah tapak penetasan telur penyu.

Pulau-pulau lain yang berdekatan lazimnya tidak boleh di lawati oleh pelancong biasa bagi memastikan tempat tersebut kekal dalam keadaan asalnya. Penyu lazimnya naik ke darat selepas senja untuk bertelur. Taman laut ini menpunyai polisi yang hanya membenarkan para pelancong melihat seekor penyu bertelur hanya waktu malam sahaja.

Sementara menanti waktu senja untuk menyaksikan saat yang mengagumkan ini, pelancong hanya perlu bersantai di tepi pantai atau berenang snokel sambi menanti matahari terbenam. Pantai barat pulau ini sangat sesuai untuk bersantai. Pantainya putih bersih, sunyi dan mempunyai terumbu karang serta hidupan laut yang menarik di perairannya.

Sekiranya anda berjalan-jalan di sekeliling pulau ini, anda pasti kagum melihat betapa banyak penyu telah naik ke darat untuk bertelur - jejak mereka boleh kelihatan di permukaan pasir berhari-hari lamanya.

Pekan tanah besar yang terdekat ialah pekan Sandakan. Pengendali percutian anda akan mengaturkan supaya sebuah bot laju menjemput anda pergi dan balik dari Pulau Penyu. Perjalanan ini memakan masa selama dua jam.



  • Tips
    Penyu bertelur di waktu malam dan pelawat disarankan mempelajari lebih lanjut bagaimana mendapatkan peluang memerhati penyu bertelur dari pegawai di tapak penetasan di sini kerana mereka sangat arif mengenai hal ini.

  • Pengangkutan

Bot

Dari jeti Sandakan, anda boleh menaiki bot laju ke Pulau Penyu. Perjalanan ini memakan masa selama dua jam.

PULAU LANKAYAN


Pulau ini hanya mempunyai satu pusat selaman skuba di Laut Sulu Malaysia yang dinamakan Lankayan Island Dive Resort dan merupakan salah satu tempat terbaik untuk melihat jerung paus.

Kedudukan jerung paus ini selalunya ditanda dengan kehadiran sekumpulan burung laut yang berlegar-legar di kawasan air laut yang tenang. Penyelam mungkin sempat mendekati haiwan raksasa yang tidak merbahaya ini tetapi selalunya haiwan ini tidak menunggu lama di satu-satu tempat.

Pada waktu siang, anda boleh memerhati ikan yu sirip hitam berenang berhampiran pantai. Di sebelah malam pula Penyu Karah dan Penyu Agar boleh dilihat naik ke pantai. Terdapat juga kawasan yang dipenuhi pelbagai jenis terumbu karang lembut dan keras yang berwarna-warni di sini iaitu habitat yang sesuai untuk ikan-ikan kecil.
Salah satu dari 40 tapak selaman skuba yang terdapat di sini ialah Lankayan Wreck di mana bangkai sebuah kapal menunda ikan boleh di terokai penyelam.Bangkai kapal ini menjadi tempat kediaman pelbagai jenis ikan dari yang sekecil 'glassfish', 'harlequin ghost pipefish', 'painted frogfish' hingga ikan pertang dan ikan pari.

Walaupun terpencil, pulau ini mempunyai semua kemudahan sebagai sebuah resort tropika. Pelawat boleh bermalam di banglo kayu yang dibina di celah-celah pokok di pinggiran hutan berhadapan pantai.Sememangnya, Lankayan bukan sahaja destinasi bagi penyelam skuba, malahan bagi sesiapa sahaja yang menghargai ketenangan sebuah pulau yang aman yang menawarkan pemandangan matahari terbit dan tenggelam yang mempesona dan pemandangan laut yang hebat.


  • Tips
    Kelebihan Pulau Lankayan ialah selaman makro - menyelam mencari hidupan laut yang halus - walaupun hidupan laut pelagik yang besar juga banyak kelihatan di sini.

  • Pengangkutan

Bot

Pengangkutan bot laju disediakan dari Sandakan Yacht Club ke Pulau Lankayan di mana perjalanan mengambil masa selama satu jam setengah.


Penerbangan

Pelawat perlu menaiki penerbangan pagi dari Kota Kinabalu ke Sandakan

BATU PUNGGUL


Batu Punggul merupakan sebuah bongkah batu kapur yang besar terletak di tebing Sungai Sepulot di pedalaman selatan Negeri Sabah.Ia tidak jauh dari sempadan Kalimantan, dan mempunyai pemandangan hutan mengagumkan dari puncak dan gua yang menarik di bawah.

Pelawat boleh memilih tempat penginapan di sebuah resort berhampiran selain rumah panjang kaum Murut, asrama atau rumah tumpangan yang dilengkapi kemudahan moden.Penerokaan gua di sini menghadiahkan pemandangan bongkahan stalaktit dan stalagmit serta kelawar.

Bunga Rafflesia iaitu bunga terbesar di dunia juga boleh kelihatan kira-kira 25 minit perjalanan dari gua ini. Kawasan ini juga mempunyai pelbagai jenis bunga orkid liar.Pelawat boleh mendaki ke puncak bongkahan batu kapur ini untuk menikmati pemandangan indah di sekitar hutan tebal yang menyelubungi kawasan ini. Pada waktu malam, hutan ini dipenuhi bunyi hidupan liar yang menghasilkan 'simfoni hutan' yang menarik.

Memandangkan bongkah batu kapur lazimnya hanya terdapat di kawasan berhampiran pantai maka kewujudan Batu Punggul di tengah hutan di pedalaman Borneo ini membingungkan ahli sains yang melawat kawasan ini.



  • Tips
    Bawa bersama seluar panjang dan kasut yang selesa untuk perjalanan jauh serta pendakian ke puncak. Perjalanan ke Batu Punggul mungkin memakan masa sehari suntuk dan pelawat dinasihatkan agar bermalam di sana sebelum kembali ke pekan.

  • Pengangkutan

Kereta, Bot

Dari Kota Kinabalu atau Keningau, pandu kereta ke Sepulot atau Kampung Labang sebelum meneruskan perjalanan ke Batu Punggul menggunakan bot bermotor. Perjalanan ini memakan masa dua hingga tiga jam menyusuri Sungai Sepulot.

SARAWAK BUMI KENYALANG


BUMI KENYALANG

Nama ‘Borneo’ adalah suatu yang istimewa, dan kunjungan ke Sarawak menjanjikan pengalaman yang menakjubkan untuk para pengunjung. Negeri ini mempunyai banyak taman negara, pantai dan juga kebudayaan kaum serta keramahan yang sukar ditandingi.


Terletak di barat daya pantai Borneo, Bumi Kenyalang mena-alukan kedatangan pengunjung dengan menawarkan kekayaan hutan hujan, sungai-sungai, perladangan lada hitam dan juga kepelbagaian budaya kaumnya.Sarawak turut berkongsi sempadan dengan wilayah Kalimantan di selatan dan Brunei serta Sabah di timur laut.

Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia, merangkumi keluasan 124, 450 km persegi dan ibu negerinya antara yang menarik di Asia, iaitu Kuching.Dua pertiga kawasan bumi di sini dilitupi hutan hujan dan populasi penduduknya adalah 1.7 terdiri daripada 23 kumpulan etnik.

Kaum etnik di Sarawak turut bangga dengan kebudayaan mereka, dan mereka turut berjaya mentadbir kerajaan, memperbaiki pendidikan dan media.



TAMAN NEGARA TANJUNG DATU


Tanjung Datu terletak di sudut paling barat Negeri Sarawak. Di sini, taman negara terkecil di Sarawak menawarkan kombinasi tarikan yang jarang ditemui di satu tempat - terumbu karang serta hutan hujan dara yang terletak hanya 100 meter sahaja antara satu sama lain.

Pelawat dapat bermalam berhampiran taman laut ini iaitu di perkampungan nelayan Teluk Melano – hanya tiga jam perjalanan dari bandar Kuching menggunakan van atau bot.Diwartakan pada tahun 1994, ianya merupakan taman negara terbaru dan yang terkecil bagi Negeri Sarawak merangkumi keluasan hanya 13 km persegi.


  • Tips
    Di sini terdapat sebuah program homestay yang dikendalikan oleh Borneo Inbound. Mereka boleh dihubungi di talian : +082 237 318

  • Pengangkutan

Kereta, Bot

Perjalanan untuk sampai ke simpang yang mempunyai papan tanda dari bandar Kuching memakan masa selama kira-kira 2 1/2 jam. Dari sini, anda boleh sampai ke taman laut ini menggunakan jalan yang melalui Lundu dan Sematan. Dari Sematan, naiki bot untuk ke Tanjung Datu. Keseluruhan perjalanan ini memakan masa selama 3 1/2 jam.

TAMAN NEGARA GUNUNG MULU


Taman Negara Gunung Mulu mengandungi rangkaian-rangkaian gua yang terpanjang di dunia dan di sini juga terletaknya 'Sarawak Chamber' iaitu ruang bawah tanah terbesar di dunia yang boleh menampung empat puluh biji kapal terbang Boeing 747.

Anda juga boleh melawat Gua Rusa iaitu gua yang mempunyai terowong yang terbesar di dunia yang boleh memuatkan lima buah gereja besar bersaiz gereja Saint Paul di London.

Satu lagi tarikan utama di sini ialah Gua Air Jernih iaitu gua yang terpanjang di Asia Tenggara. Gua-gua yang besar ini menjadi tempat tinggal berjuta-juta ekor kelawar dan burung layang-layang yang terbang keluar berkumpulan menuju ke hutan setiap waktu senja!

Pelawat yang gemarkan alam semulajadi akan merasa kagum dan teruja melihat contoh terbaik luluhawa batu kapur tropika termasuk kawasan rabung batu kapur yang tajam serta ngarai yang dalam yang diberi gelaran 'The Pinnacles'.
Resort di sini menawarkan pelbagai pilihan pendakian yang sukar tetapi memuaskan hati. Pelawat disarankan menggunakan khidmat pemandu pendakian dan pengangkut barang.


  • Tips
    Pastikan anda sampai di Gua Rusa menjelang jam 6 petang untuk menyaksikan pemandangan hebat berjuta-juta ekor kelawar yang terbang keluar dari gua untuk mencari makanan di dalam kegelapan malam. Tetapkan kamera anda pada tahap ASA 800 untuk mengambil gambar 'pertunjukan' ini dengan jelas kerana lampu kamera anda tidak dapat membantu dalam usaha menangkap gambar ini.

  • Pengangkutan

Bot ekspres

Anda juga boleh menaiki bot ekspres dari Kuala Baram (perjalanan selama tiga jam) ke Marudi. Dari Marudi, naik bot ekspres komersial ke Kuala Apoh atau Long Panai di Sungai Tutoh (sebatang anak sungai, Sungai Baram). Bot ekspres ini berlepas dari Marudi setiap hari pada waktu tengahari dan kembali ke Marudi awal pagi keesokan harinya. Perjalanan ini mengambil masa kira-kira tiga jam.

PenerbanganSyarikat

Penerbangan Malaysia (MAS) mengendalikan tiga penerbangan harian dari Miri ke Mulu (penerbangan selama 30 minit). Baru-baru ini, sebuah anak syarikat Air Asia iaitu FAX juga telah memulakan perkhidmatan penerbangan ke Mulu.

Taman Negara Niah


Gua Niah terletak lebih kurang 400 km di sepanjang pantai ke utara bandar Kuching terselindung di sebalik hutan tebal Miri. Taman negara ini merangkumi kawasan seluas 3,140 hektar yang merangkumi paya gambut, hutan dipterokap dan pembentukan rabung batu kapur. Gua Niah terdiri daripada sebuah gua yang besar (dipanggil Gua Besar) dan beberapa buah gua kecil yang lain.

Pada tahun 1958, pakar kaji purba menemui bukti yang menunjukkan bahawa gua ini telah pun diduduki manusia sejak lebih kurang 40,000 tahun yang lalu. Lukisan pada dinding batu telah dijumpai di kawasan yang kini dinamakan Gua Lukisan (Painted Cave) dan penemuan beberapa buah keranda berbentuk sampan menunjukkan yang kawasan ini pernah digunakan sebagai tempat persemadian suatu masa dahulu.

  • Tips
    Memandangkan gua ini merupakan tempat tinggal berjuta-juta kelawar maka pelawat dinasihatkan agar memakai kasut yang tahan lasak supaya tidak terpijak guano - tahi kelawar.

  • Pengangkutan

Jalan Darat dan Sungai

Taman negara ini boleh dikunjungi melalui jalan raya dari Miri atau Bintulu. Perjalanan memakan masa 2 jam dari Miri dan 3 jam dari Bintulu untuk sampai di Batu Niah. Dari Batu Niah, pelawat perlu menaiki bot dengan perjalanan yang singkat untuk sampai ke Ibupejabat Taman Negara ini.

SAFARI SUNGAI SKRANG


Sekiranya anda berkunjung ke Sarawak, lawatan ke rumah panjang sememangnya perlu bagi melengkapkan pengalaman anda di sini. Skrang merupakan salah satu lokasi rumah panjang yang mesti anda cuba jika anda ingin melihat dan mengalami sendiri cara hidup masyarakat rumah panjang yang pada satu ketika dahulu dikenali sebagai tempat tinggal lanun dan pemburu kepala manusia.

Lawatan safari rumah panjang bermula dengan perjalanan kenderaan pacuan empat roda menuju ke tebing Sungai Skrang. Dari situ, safari ini bersambung dengan perjalanan bot panjang bermotor menyusuri Sungai Skrang yang cetek dan kadangkala bertarung dengan arus deras dalam perjalanan yang sangat mengujakan.

Perjalanan menyusur sungai yang indah ini membawa anda ke beberapa buah rumah panjang kayu yang menarik yang menjadi tempat tinggal suku kaum Iban.Anda juga boleh memanjangkan lawatan anda dengan bermalam di salah sebuah rumah panjang ini dan mengalami sendiri cara hidup, budaya dan tradisi masyarakat Iban. Puncak lawatan Safari Sungai Skrang ini ialah persembahan hiburan oleh penduduk rumah panjang tersebut yang mempersembahkan tarian dan muzik tradisional Iban. Tuak, sejenis minuman keras yang diperbuat dari beras dihidangkan sewaktu persembahan dijalankan.Kawasan hutan di sekitar rumah panjang ini juga menawarkan penerokaan laluan trek hutan yang menarik.


  • Tips
    Pastikan anda memakai kasut atau sandal yang sesuai sewaktu mengikuti lawatan safari ini kerana anda mungkin diminta turun dari bot panjang di kawasan yang sangat cetek dan membantu pemandu menolak bot melepasi beting pasir menuju ke kawasan air yang lebih dalam.

  • Pengangkutan

Jalan Darat dan Sungai

Perjalanan ke Skrang adalah sejauh 232 km dari Kuching. Perjalanan darat ke sini memakan masa selama 5 jam diikuti perjalanan bot sepanjang Sungai Skrang yang mengambil masa selama 90 minit.