Khamis, 27 Ogos 2009

HUTAN SIMPAN BELUM


Hutan Simpan Belum yang merupakan sebuah hutan dara yang luas terletak di utara Tasik Temenggor, di bahagian utara Negeri Perak. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung yang tidak pernah diterokai oleh manusia.


Kehadiran spesis haiwan mamalia yang besar di sini seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Hutan Belum sebuah hutan simpan yang amat istimewa.
Hutan ini kaya dengan haiwan dan tumbuhan yang mengagumkan yang mana banyak kawasan di sini belum pernah di teroka atau diganggu oleh kehadiran manusia.
Beberapa syarikat pengendali pelancong kini menawarkan lawatan berpandu ke tempat-tempat tertentu di hutan simpan ini dan boleh mengaturkan permit-permit kebenaran yang diperlukan untuk melawat ke sini dan juga pengangkutan darat dan sungai malah mungkin merangkumi aktiviti perkhemahan.




  • Tips
    Gunakan pakaian yang nipis dan longgar; kemeja-t lengan panjang yang selesa dan seluar panjang untuk perlindungan dari serangga dan luka cakaran. pada masa-masa tertentu, keadaan di dalam hutan ini boleh menjadi sejuk. Bawa bersama jaket kalis air untuk keselesaan anda. Ketika meneroka hutan, pilih laluan trek yang boleh anda sempurnakan sebelum matahari terbenam dan pastikan anda memberitahu rancangan anda untuk meneroka kepada orang lain agar mereka boleh menjangka bila anda akan pulang dari penerokaan anda. Anda disarankan supaya tidak melencong dari laluan yang telah ditandakan di dalam hutan ini.

  • Pengangkutan

Kereta

Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Ipoh. Selepas Ipoh, ambil susur keluar ke Kuala Kangsar dan pandu ke arah pekan Gerik. Gunakan Laluan 4 iaitu Lebuhraya Timur-Barat. Lebuhraya ini akan membawa anda ke Pulau Banding iaitu gerbang masuk ke Hutan Belum. Perjalanan dari KL memakan masa kira-kira 5 1/2 jam. Kebenaran masuk ke Hutan Simpan Belum lebih mudah didapati sekiranya anda berurusan dengan pemilik resort yang terdapat di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan