Memaparkan catatan dengan label PERAK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PERAK. Papar semua catatan

Jumaat, 28 Ogos 2009

PERAK DARUL RIDZUAN



Perak Darul Ridzuan menjanjikan pelbagai pengalaman indah seperti bersantai di pulau dan pantainya yang indah, berkunjung ke tokong dalam gua, meneroka khazanah alam dan menghayati kepelbagaian warisan budaya penduduknya yang berbilang kaum.

Meliputi kawasan seluas 21,000 km. persegi, Perak terletak di antara negeri Kedah di utara dan negeri Selangor di selatan. Banjaran gunung utama di sini mengunjur di sepanjang negeri Perak dan tersergam megah berbanding tanah rata yang terhampar sehingga ke persisiran pantai barat negeri ini.
Negeri Perak juga dikenali sebagai 'Negeri Anggun', oleh sebab suasana serta keindahannya yang bersahaja. Negeri Perak terbahagi kepada sembilan buah daerah.
Setiap daerah mempunyai ciri-ciri keindahan dan sejarah yang tersendiri serta tarikan pelancongan termasuk bangunan bersenibina Anglo-Melayu dan Cina, bangunan kolonial, gua batu kapur, kuil dan tokong, serta pusat peranginan di tanah tinggi seperti yang terdapat di Bukit Larut (Maxwell Hill).


Ibu negeri Perak, bandar Ipoh di penuhi bangunan-bangunan lama peninggalan Inggeris dan terkenal dengan sajian makanan yang sederhana tetapi lazat di gerai-gerai tepi jalan. Malahan, sajian makanan enak di Ipoh menarik ramai pelawat harian dari seluruh Malaysia hingga ada yang sanggup memandu selama tiga jam semata-mata untuk menikmati semangkuk mee lazat yang hanya boleh didapati di sini!

Bahagian pantai barat negeri Perak yang menghadap Selat Melaka mempunyai beberapa buah pulau yang terletak tidak jauh dari tanah besar. Pulau yang terdekat jaraknya dengan tanah besar ialah Pulau Pangkor yang terletak bertentangan dengan pekan Lumut di tanah besar. Gaya kehidupan di Pulau Pangkor yang unik menawarkan pelbagai pengalaman percutian yang indah dan beberapa buah pantai yang menawan untuk para pelawat. Cuba sajian makanan laut di sini, anda pasti tertawan!

Khamis, 27 Ogos 2009

TOKONG SAM POH TONG

Sam Poh Tong ialah sebuah gua terkenal yang terletak di Gunung Rapat, kira-kira 5km ke selatan bandar raya Ipoh. Ada yang mengatakan ianya adalah tokong yang terbesar di Malaysia yang mempamerkan hasil seni yang mengagumkan dari arca-arca Buddha yang terletak di antara bongkah-bongkah stalaktit dan stalagmit di dalam gua ini.

Menurut legendanya, gua ini ditemui pada tahun 1890 oleh seorang sami Buddha dari negeri China yang lalu di kawasan itu di dalam perjalannya menuju ke Ipoh; dia membuat keputusan untuk menjadikan gua itu sebagai tempat tinggalnya dan tempat untuk bertapa. Dia dikatakan telah tinggal di sini selama 20 tahun sehingga hari kematiannya. Hari ini, sami-sami Buddha lelaki mahu pun perempuan yang menumpukan hidup mereka kepada agama Buddha masih lagi menduduki tokong Sam Poh Tong.

Bahagian hadapan tokong yang ada sekarang telah wujud sejak tahun 1950an dan tangga yang mempunyai 246 anak tangga ini akan membawa anda ke sebuah gua terbuka yang mempunyai pemandangan bandar raya Ipoh dan persekitarannya yang amat menarik. Tarikan lain di tokong ini termasuk kolam gaya Jepun yang penuh dengan ikan kap Jepun dan kura-kura yang merupakan lambang usia yang panjang.
Pelawat boleh melihat hasil kerja seni manusia dan juga alam semulajadi di dalam tokong ini - arca Buddha yang diukir indah dalam pelbagai aksi terletak di antara bongkahan stalaktit dan stalagmit yang menawan.



  • Tips
    Tokong ini lazimnya lebih meriah sewaktu pesta keagamaan Buddha seperti Hari Wesak.

  • Pengangkutan

Jalan Darat

Tokong ini terletak di Gunung Rapat iaitu hanya 5km di selatan bandar raya Ipoh.

TAMAN PERLINDUNGAN BURUNG KUALA GULA


Hutan Paya Bakau Matang merupakan eko-sistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia. Hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 km bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 km lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai-sungai di dalam lima kawasan muara yang terlindung.



Sewaktu musim penghijrahan burung antara bulan Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 ekor burung dari kira-kira 50 spesis dijangka singgah di sini.Pusat maklumat pelawat yang lengkap disediakan di sini bagi membolehkan pelawat memahami kepentingan memelihara dan menjaga ekosistem hutan paya bakau dan burung-burung yang tinggal atau pun yang singgah di sini menerusi program pembelajaran dan bahan pameran yang disediakan.

Taman Perlindungan Burung Kuala Gula pernah memenangi anugerah 'Tarikan Pelancong Terbaik (Tarikan Semulajadi) sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Malaysia - sebuah majlis gemilang yang menyampaikan anugerah-anugerah kepada agensi dan pertubuhan yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Malaysia.


  • Tips
    Masa terbaik untuk memerhati burung di sini ialah dari bulan September hingga Mac.

  • Pengangkutan

Kereta

Walaupun kawasan perlindungan burung in terletak di Negeri Perak, sebenarnya ia lebih mudah dikunjungi dari Butterworth (di Pulau Pinang). Pandu di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan menuju selatan dari Butterworth (di Pulau Pinang) selama kira-kira 30 minit, kemudian susur keluar di Jawi menghala ke pekan Kuala Kurau. Pandu terus selama 30 minit lagi dan anda akan jumpa papan-papan tanda yang menunjukkan arah ke Kuala Gula.

HUTAN SIMPAN BELUM


Hutan Simpan Belum yang merupakan sebuah hutan dara yang luas terletak di utara Tasik Temenggor, di bahagian utara Negeri Perak. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung yang tidak pernah diterokai oleh manusia.


Kehadiran spesis haiwan mamalia yang besar di sini seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Hutan Belum sebuah hutan simpan yang amat istimewa.
Hutan ini kaya dengan haiwan dan tumbuhan yang mengagumkan yang mana banyak kawasan di sini belum pernah di teroka atau diganggu oleh kehadiran manusia.
Beberapa syarikat pengendali pelancong kini menawarkan lawatan berpandu ke tempat-tempat tertentu di hutan simpan ini dan boleh mengaturkan permit-permit kebenaran yang diperlukan untuk melawat ke sini dan juga pengangkutan darat dan sungai malah mungkin merangkumi aktiviti perkhemahan.




  • Tips
    Gunakan pakaian yang nipis dan longgar; kemeja-t lengan panjang yang selesa dan seluar panjang untuk perlindungan dari serangga dan luka cakaran. pada masa-masa tertentu, keadaan di dalam hutan ini boleh menjadi sejuk. Bawa bersama jaket kalis air untuk keselesaan anda. Ketika meneroka hutan, pilih laluan trek yang boleh anda sempurnakan sebelum matahari terbenam dan pastikan anda memberitahu rancangan anda untuk meneroka kepada orang lain agar mereka boleh menjangka bila anda akan pulang dari penerokaan anda. Anda disarankan supaya tidak melencong dari laluan yang telah ditandakan di dalam hutan ini.

  • Pengangkutan

Kereta

Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Ipoh. Selepas Ipoh, ambil susur keluar ke Kuala Kangsar dan pandu ke arah pekan Gerik. Gunakan Laluan 4 iaitu Lebuhraya Timur-Barat. Lebuhraya ini akan membawa anda ke Pulau Banding iaitu gerbang masuk ke Hutan Belum. Perjalanan dari KL memakan masa kira-kira 5 1/2 jam. Kebenaran masuk ke Hutan Simpan Belum lebih mudah didapati sekiranya anda berurusan dengan pemilik resort yang terdapat di sini.

KELLIE'S CASTLE

Pada asalnya mahligai ini dibina sebagai rumah kediaman untuk William Kellie Smith seorang peladang dari Scotland pada kurun ke-20.Memandangkan beliau berada jauh dari tanah airnya, beliau menginginkan sebuah rumah yang boleh mengingatkannya kepada tanah airnya. Mahligai ini terletak di atas sebuah bukit yang dahulunya merupakan kawasan ladang getah.


William Kellie Smith adalah seorang lelaki yang menarik dan sangat popular di kalangan pekerjanya dari India Selatan. Beliau seorang yang baik hati kerana mendirikan sebuah kuil Hindu untuk pekerjanya di perkarangan kawasan mahligai tersebut.Para pekerjanya telah mendirikan sebuah arca yang menyerupai Kellie yang lengkap berbaju sut dan topi sebagai tanda terima kasih mereka.

Pembinaan mahligai yang unik ini bermula pada tahun 1915. Walau bagaimana pun, kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan apabila Kellie mati secara tiba-tiba pada tahun 1926. Kini, mahligai yang tidak siap ini kelihatan aneh dikelilingi ladang yang sunyi dan mempunyai aura misteri.Baru-baru ini beberapa usaha telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menyelamatkan mahligai yang indah ini dari tumbuhan liar yang semakin banyak menyelubunginya. Mahligai ini dipercayai berhantu dan mempunyai bilik rahsia serta terowong bawah tanah yang tersembunyi.
Jalan menuju ke mahligai berbelok-belok dan agak membingungkan lantas meningkatkan lagi suasana misteri tempat ini.

  • Tips
    Oleh kerana mahligai ini terletak di sebuah kawasan yang sunyi, rancang lawatan supaya anda dapat kembali sebelum matahari terbenam.

  • Pengangkutan

Kereta

Mahligai ini terletak berhampiran Ladang Getah Kintas Kellas di dalam perjalanan ke pekan Batu Gajah iaitu kira-kira 14 km dari bandar raya Ipoh atau 30 minit perjalanan dengan kereta.

KOMPLEKS SEJARAH PASIR SALAK

Kompleks Sejarah Pasir Salak terletak di kawasan seluas 17 hektar dan terbahagi kepada dua kawasan, iaitu bahagian perdagangan dan pendidikan/ sejarah.Terletak 70 km dari bandaraya Ipoh, kompleks ini dibina sebagai menghormati pejuang Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela.Tugu turut dibina dalam bentuk sundang, iaitu replika pisau yang digunakan untuk membunuh J.W.W. Birch.Kedua tokoh inilah yang bertanggungjawab menaikkan semangat rakyat setempat menentang penjajah British ketika itu yang dikatakan tidak menghormati adat setempat.



Sewaktu residen British di Perak ketika itu, J.W.W. Birch, dibunuh di tebing Sungai Perak, situasi tegang antara pihak British dan penduduk Melayu tercetus. Sejarah lanjut hal ini dapat dilihat di kompleks sejarah ini.


Tarikan lain di kompleks termasuk monumen J.W.W. Birch, kubur Sipuntum (dikatakan pembunuh upahan), kubu Datuk Maharajalela, serta meriam Lela Rentaka yang digunakan untuk menentang pihak British.Terdapat juga dua buah rumah Kutai (rumah tradisional Perak) yang dilengkapi dengan bahan bersejarah dan artifak kebudayaan berharga.



  • Tips
    Waktu melawat di kompleks tersebut: Isnin - Khamis (10 pagi - 5 petang); Jumaat (10 pagi - 12 tengahari, 2.45 petang - 5.00 petang); Sabtu, Ahad dan Cuti Umum (10 pagi - 6 petang).

  • Pengangkutan

Kereta

Ambil lebuh raya Utara Selatan (PLUS), dan ambil susur keluar di pertukaran Simpang Pulai. Dari sini, ambil laluan Batu Gajah, dan pandu ke arah Kampung Gajah. Ikut papan tanda ke arah Kompleks Sejarah Pasir Salak.

GUA TEMPURUNG

Gua Tempurung, yang merentasi 1.3 km dipercayai telah dihuni oleh manusia seawal 8000BC.Gua ini dikatakan mempunyai gua batu kapur semulajadi terbesar di Semenanjung Malaysia. Ia terletak di kawasan Gopeng, 24 km ke selatan Ipoh.


Gua ini membentuk lima bucu (dome) yang siling atasnya berbentuk tempurung kelapa, dengan setiap bucu mempunyai pelbagai bentuk stalagmit dan stalaktit.
Bucu ini juga berbeza antara satu yang lain tergantung kepada suhu, paras air dan kandungan batu kapur dan marmar.


  • Tips
    Pintu masuk ke gua ini menempatkan pusat pelawat untuk pendaftaran bagi mendapatkan permit yang diperlukan untuk melawat gua.

  • Pengangkutan

Kereta

Gua ini terletak di kawasan Gopeng, 24 km ke selatan Ipoh.

PULAU PANGKOR

Pulau Pangkor dengan kombinasi perkampungan nelayan yang mempesona serta resort yang mewah merupakan destinasi percutian yang mengagumkan dan mudah dikunjungi. Pulau Pangkor memberi pelawat peluang untuk menginap di tempat penginapan berhampiran dengan perkampungan nelayan bagi membolehkan mereka memerhatikan cara hidup para nelayan sambil menikmati keindahan pantai atau memilih kemudahan resort yang tersedia di situ.

Penduduk di sini tinggal di beberapa perkampungan nelayan yang bertaburan di sebelah Timur pulau ini yang bertentangan dengan pekan Lumut dan Teluk Batik. Pelawat juga berpeluang melihat perkampungan ini sewaktu perjalanan feri dari Lumut yang mengambil masa selama 40 minit kerana feri ini singgah di kawasan penempatan utama iaitu Sungai Pinang Kecil dan Sungai Pinang Besar sebelum berhenti di pekan Pulau Pangkor.

Dua pantai yang popular di Pulau Pangkor iaitu pantai Pasir Bogak dan pantai Teluk Nipah menawarkan aktiviti-aktiviti seperti menyelam skuba, berenang snokel, bermain papan luncur air dan memancing kepada mereka yang gemarkan sinaran matahari dan lautan biru. walaupun Pantai Pasir Bogak telah banyak membangun namun Teluk Nipah masih lagi mengekalkan suasana perkampungannya.Teluk Ketapang atau Turtle Bay masih lagi menerima kedatangan penyu laut yang tiba di sini untuk bertelur. Ada juga antara resort di pulau ini yang menawarkan kemudahan padang golf yang hebat.

  • Tips
    Bertolak dari resort anda di sebelah petang dan tuju ke perkampungan nelayan yang utama di Pulau Pangkor untuk menikmati makanan laut yang paling lazat.


  • Pengangkutan

Jalan Laut

Pulau Pangkor boleh dikunjungi dengan feri yang mengambil masa 40-minit dari Lumut. Feri ini bertolak setiap setengah jam sekali.

Jalan Udara

Syarikat penerbangan swasta seperti Berjaya Air mengendalikan penerbangan 5 kali seminggu ke Pulau Pangkor dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah berhampiran Kuala Lumpur.

Jalan Darat

Gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Perak. Ambil susur keluar ke plaza tol Bidor. Perjalanan seterusnya akan melalui jalanraya negeri. Ikut papan tanda ke '“Pelabuhan Lumut”. Kemudian, ikut papan tanda yang menghala ke “Teluk Intan”, “Sitiawan” dan “Pulau Pangkor”.