Rabu, 19 Ogos 2009

Taman Laut Pulau Tiga


Pulau Tiga adalah pulau terbesar di antara tiga pulau yang membentuk Taman Laut Pulau Tiga. Pemandangan indah dan persekitaran yang bersih telah menarik minat Rangkaian TV CBS dari Amerika untuk menggunakan pulau ini sebagai lokasi utama bagi penggambaran rancangan 'Survivor' yang popular lantas memberikan gelaran 'Survivor Island' kepada pulau ini.

Pulau ini terbentuk selepas ledakan beberapa buah gunung berapi lumpur. Ledakan terakhir berlaku pada tahun 1941 dan sejak itu, gunung berapi lumpur tersebut telah kekal pasif. Beberapa buah lahang yang mengeluarkan lumpur mengandungi mineral yang tinggi dan masih boleh ditemui berhampiran puncak tertinggi di pulau ini. Kepercayaan yang lumpur ini baik untuk kulit menjadikan aktiviti bermandi lumpur sangat terkenal di pulau ini.

Hutan hijau yang tebal di pulau ini menyediakan perlindungan yang nyaman, sementara pasir pantai yang halus dan putih serta air laut yang jernih menggamit pelawat ke sini. Terumbu karang di sekeliling pulau ini memberi perlindungan kepada pelbagai spesis ikan dan hidupan laut yang lain. Antara aktiviti yang menanti anda di sini termasuk menyelam skuba, sukan air tidak bermotor, meneroka hutan, memerhati burung dan bermandi lumpur.Ibupejabat Taman Laut terletak di bahagian selatan pulau ini tidak jauh dari Pulau Tiga Resort.

  • Tips
    Pulau Tiga dan Pulau Kalampunian menawarkan peluang mandi-manda dan berenang snokel tidak jauh dari pantai.

  • Pengangkutan

Jalan darat dan laut

Perjalanan ke Jeti Kuala Penyu dari Kota Kinabalu mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Bot laju yang disediakan di Jeti Kuala Penyu ke Taman Laut Pulau Tiga pula akan mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan