Rabu, 19 Ogos 2009

SAFARI SUNGAI SKRANG


Sekiranya anda berkunjung ke Sarawak, lawatan ke rumah panjang sememangnya perlu bagi melengkapkan pengalaman anda di sini. Skrang merupakan salah satu lokasi rumah panjang yang mesti anda cuba jika anda ingin melihat dan mengalami sendiri cara hidup masyarakat rumah panjang yang pada satu ketika dahulu dikenali sebagai tempat tinggal lanun dan pemburu kepala manusia.

Lawatan safari rumah panjang bermula dengan perjalanan kenderaan pacuan empat roda menuju ke tebing Sungai Skrang. Dari situ, safari ini bersambung dengan perjalanan bot panjang bermotor menyusuri Sungai Skrang yang cetek dan kadangkala bertarung dengan arus deras dalam perjalanan yang sangat mengujakan.

Perjalanan menyusur sungai yang indah ini membawa anda ke beberapa buah rumah panjang kayu yang menarik yang menjadi tempat tinggal suku kaum Iban.Anda juga boleh memanjangkan lawatan anda dengan bermalam di salah sebuah rumah panjang ini dan mengalami sendiri cara hidup, budaya dan tradisi masyarakat Iban. Puncak lawatan Safari Sungai Skrang ini ialah persembahan hiburan oleh penduduk rumah panjang tersebut yang mempersembahkan tarian dan muzik tradisional Iban. Tuak, sejenis minuman keras yang diperbuat dari beras dihidangkan sewaktu persembahan dijalankan.Kawasan hutan di sekitar rumah panjang ini juga menawarkan penerokaan laluan trek hutan yang menarik.


  • Tips
    Pastikan anda memakai kasut atau sandal yang sesuai sewaktu mengikuti lawatan safari ini kerana anda mungkin diminta turun dari bot panjang di kawasan yang sangat cetek dan membantu pemandu menolak bot melepasi beting pasir menuju ke kawasan air yang lebih dalam.

  • Pengangkutan

Jalan Darat dan Sungai

Perjalanan ke Skrang adalah sejauh 232 km dari Kuching. Perjalanan darat ke sini memakan masa selama 5 jam diikuti perjalanan bot sepanjang Sungai Skrang yang mengambil masa selama 90 minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan