Rabu, 19 Ogos 2009

TAMAN NEGARA BUKIT LAMBIR


Bukit Lambir sangat popular di kalangan ahli ekologi dan para penyelidik. Taman negara ini mempunyai keluasan 7,000 hektar dan kawsan seluas 52 hektar mengandungi 1,050 spesis pokok dan setiap pokok menampung 1,000 spesis serangga!
Ahli ekologi berpendapat bahawa terdapat banyak lagi spesis tumbuhan dan serangga di taman negara ini yang masih belum dikenalpasti. Taman negara yang menakjubkan ini adalah taman yang paling senang di kunjungi di Sarawak di mana ianya hanya 30 minit perjalanan dari Miri.

Dalam keghairahan anda untuk melawat Mulu atau Niah anda tidak harus melepaskan peluang melawat Lambir. Hutan Lambir menjadi tempat tinggal pelbagai jenis haiwan termasuk ungka, kera hantu, babi hutan, tupai terbang, rusa, 157 jenis burung dan harimau dahan yang cantik.

Anda akan melihat hidupan liar sambil anda meneroka laluan-laluan trek hutan di taman negara ini. Laluan trek hutan ini merupakan yang terpanjang dan paling lasak menuju ke puncak Bukit Lambir (465 meter), namun pemandangan hebat hutan hujan di bawahnya membuatkan pendakian ini sangat berbaloi.
Di sini terdapat sebuah menara pokok setinggi 40m di mana anda boleh melihat nadi kehidupan di dalam hutan secara dekat. Taman ini juga adalah sesuai untuk aktiviti memerhati burung.

Kedudukannya yang berhampiran dengan bandar Miri membuatkan taman negara ini destinasi yang sesuai untuk lawatan sehari tetapi jika anda ingin memerhati hidupan liar mengikut kesenangan anda, tempat penginapan boleh ditempah di ibu pejabat taman.


  • Tips
    Bawa bersama pakaian mandi anda kerana taman ini mempunyai kolam tempat berenang di kaki air terjun yang hebat dan mudah dikunjungi. Ia adalah cara terbaik untuk menyegarkan diri anda di dalam hutan yang mempunyai cuaca panas lembap.

  • Pengangkutan

Kereta

Taman ini terletak hanya setengah jam dari Miri dan mudah untuk ke sini. Ibu pejabat taman ini terletak berhampiran jalan Miri-Niah. Anda hanya perlu menaiki bas ke Bintulu atau Bakong di Miri. Anda juga mungkin memilih untuk menyertai lawatan berpandu yang bertolak dari Miri pada waktu awal pagi dan kembali selepas tengahari. Penginapan semalaman juga boleh diatur jika anda mahu. Anda juga boleh menyewa teksi untuk membawa anda ke sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan