Rabu, 19 Ogos 2009

RUMAH PANJANG


Percutian ke Sarawak tidak lengkap tanpa lawatan ke rumah panjang yang merupakan tempat tinggal tradisional kebanyakan suku kaum pribumi di sini seperti kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu. Rumah panjang ialah sebaris rumah yang dihubungkan dengan laluan atau serambi yang dikongsi bersama-sama keluarga-keluarga yang tinggal di situ dan diketuai oleh seorang ketua rumah panjang yang digelar 'Tuai Rumah'. Setiap keluarga mempunyai kawasan bilik mereka sendiri. Aktiviti kemasyarakatan dijalankan di kawasan serambi yang dipanggil 'ruai'.Pelawat lelaki lazimnya akan tidur di ruai manakala pelawat wanita tidur di dalam bilik di sini.
Masyarakat rumah panjang selalunya memakai pakaian biasa seperti kemeja-T dan seluar jeans. Mereka hanya mengenakan pakaian tradisional sewaktu pesta Gawai Dayak atau pesta menuai kaum Iban dan majlis-majlis perkahwinan. Kumpulan pelawat selalunya disambut dengan segelas tuak serta persembahan tarian tradisional. Selepas itu, mereka akan dibawa melawat rumah panjang tersebut dan dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan. Pelawat selalunya akan dijemput untuk mengambil bahagian dalam tarian yang dipersembahkan. Pelawat boleh bermalam di rumah panjang ini atau di rumah tumpangan yang berdekatan.



  • Tips
    Sekiranya anda ingin bermalam di rumah panjang, anda perlu ingat bahawa anda tidak akan mempunyai ruang persendirian. Penginapan di rumah panjang adalah pengalaman secara berkumpulan.

  • Pengangkutan

Jalan Darat dan Sungai

Jarak perjalanan ke rumah panjang bergantung kepada lokasi rumah panjang yang ingin anda kunjungi. Namun begitu, bagi program lawatan yang biasa dilaksanakan oleh pengusaha pelancongan, lazimnya anda akan dijemput dari hotel untuk perjalanan selama 2 jam ke sebuah jeti di sungai utama. Selepas itu, anda boleh menyusur sungai dengan bot panjang selama satu atau dua jam sebelum sampai ke rumah panjang tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan