Isnin, 17 Ogos 2009

PANTAI CHERATING


Kampung lama Cherating menggabungkan unsur-unsur lama dengan yang moden. Sebatang jalan sepanjang kira-kira 1 km selari dengan pantai di sini dipenuhi deretan chalet yang comel dan selesa yang kebanyakannya mengadap pantai Cherating yang bersih.

Cherating menawarkan kombinasi ombak laut yang bergulung-gulung menghempas pantai, pantai yang putih bersih, pelbagai tempat penginapan, pilihan tempat makan serta aktiviti hiburan malam istimewa untuk para peluncur papan air.

Peluncur papan air meluangkan masa beberapa hari atau beberapa bulan di sini untuk mengambil kesempatan dengan kehadiran ombak laut yang hebat dan berehat bersama peluncur yang lain sambil bertukar cerita tentang pengalaman meluncur air mereka di salah sebuah bistro atau bar yang terdapat di situ.

Malahan, Kampung Cherating yang lama telah diberi gelaran 'Syurga Peluncur' sejak tahun 70an. Setiap tahun, para peluncur air dari seluruh dunia kembali ke Cherating bagi mencuba ombak di sini dan singgah melawat rakan-rakan tempatan mereka.
Pantai Cherating amat bersih dan mempesona. Resort yang popular di dunia seperti Club Med telah membina resort Asianya yang pertama di Cherating.

Peluncur papan air yang sering berulang ke sini juga mengambil kesempatan meminta rakan-rakan tempatan membawa mereka bersiar-siar di kawasan kampung yang menarik di sepanjang pantai ini sambil menjiwai pemandangan yang mempesona.




  • Tips
    Masa yang paling sesuai untuk mengadakan aktiviti papan lungsur air di sini ialah di antara bulan November dan Disember.

  • Pengangkutan

Kereta

Cherating terletak kira-kira 3 1/2 jam perjalanan dari Kuala Lumpur melalui lebuhraya ke pantai timur yang dihiasi pemandangan menarik. Terdapat juga bas-bas ekspres ke Kuantan yang bertolak dari Kuala Lumpur.

Perkhidmatan bas dan teksi

Ia juga mudah diperolehi di Kuantan yang kerap berulang alik ke Cherating. Anda juga boleh menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Dungun atau Kemaman di Terengganu yang terletak di utara Pahang dan turun di Cherating.

Penerbangan

Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines mengendalikan penerbangan harian ke Kuantan. Cherating boleh dikunjungi selepas 45 minit perjalanan dengan menaiki kereta dari lapangan terbang Kuantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan