Isnin, 17 Ogos 2009

TAMAN NEGARA BAKO

Taman negara yang tertua di Sarawak ini diasaskan pada tahun 1957 merangkumi kawasan seluas 27 km persegi terletak kira-kira 37 km dari bandaraya Kuching.
Taman negara ini terkenal dengan persekitaran semulajadi yang mempesona, habitat, tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar.

Tarikan utama di sini ialah teluknya yang terlindung serta tanjung berbatu dengan tebing curam yang mengagumkan berhadapan dengan Laut China Selatan.
Ombak laut, air masin dan angin kuat telah mengukir gerbang dan tiang batu semulajadi di kaki tebing sehingga ada yang menerjah permukaan laut bagaikan kepala naga.Pembentukan batu pasir di tebing tampak kemerahan disebabkan kandungan besi yang ada.
Di pedalaman pula, air terjun mengalir ke dalam takungan kolam air tawar diiringi ketenteraman persekitaran hutan yang hijau segar.

  • Tips
    Bako terkenal sebagai taman negara yang paling mudah dikunjungi di Sarawak bagi memerhati Monyet Belanda atau 'Proboscis Monkey'.

  • Pengangkutan

Bas

Bas Petra Jaya No.6 dan bas mini biasa berulang-alik dari bandar Kuching ke Kampung Bako, sebuah perkampungan nelayan yang menarik berhampiran taman negara ini. Pelawat juga boleh menaiki teksi ke Kampung Bako.

Bot

Dari Kampung Bako, anda boleh menyewa bot dari sebuah kaunter di jeti untuk pergi ke ibu pejabat Taman Negara. Perjalanan bot ini merupakan suatu pengembaraan yang menyeronokkan apabila melihat ketangkasan pemandu mengawal bot yang bergerak laju membelah ombak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan